Followers

Wednesday, July 14, 2010

Baba..ba..ba..baha..bahasa

biar post kali ini berbahasa melayu kerana aku memang berniat nak bercerita serba sedikit tentang bahasa. sebenarnya, aku sangat teruja untuk tulis mengenai ini sampai aku sendiri tak tahu nak mulakan dari mana sedang otak aku giat menterjemah beberapa perkataan ke dalam beberapa bahasa.

mari kita mulakan dengan jangkaan (expectation) orang di tanah air mengenai kefasihan berbahasa inggeris kita sedang (since) kita dihantar ke luar negara. sudah pasti, apabila pulang ke tanah air orang akan menjangkakan bahawa kita akan sudah fasih berbahasa inggeris - suatu bahasa yang sudah sedemikian menjadi kebiasaan (common) di mana jua serta apa jua medium. adakah kita, pelajar di sini, sudah boleh berkomunikasi dengan baik? atau masih lagi merangkak tidak ubah seperti budak darjah dua bercakap dengan rakannya?

bukan niat aku untuk berkata buruk tentang sesiapa dan siapalah aku untuk mengkritik. ini hanyalah sekadar pancaran diri sendiri yang ditransformasikan menjadi secebis pemikiran. aku dikurniakan mata, lalu aku melihat sekeliling; aku dikurniakan akal, maka aku menafsir; dan, aku dikurniakan hati, gunanya untuk pertimbangan. jadi, barangsiapa yang tidak berpuas hati dengan penulisan ini, atau mempunyai sebarang masalah mengenainya, amatlah dialu-alu kan komentar.

semenjak dua ini, selalu aku tegelak sendirian walau sedang membuat pekerjaan khusus dan serius tatkala memikirkan tentang hal bahasa ini. apa yang ingin sekali aku cuba sampaikan disini adalah, semestinya, bahasa inggeris. aku bersyukur diberi nikmat untuk belajar di bumi orang lantas aku punya dua sudut pandangan berbeza mengenai hal ini. berbeda sekali caranya aku belajar bahasa inggeris semasa di tanah air dengan caranya di sini. ya, sudah pasti aku masih lagi belajar subjek ini. mungkin ia bukan secara formal tetapi hari demi hari, kerana aku seorang yang masih lagi cetek pengetahuannya, aku masih belajar bahasa ini lebih-lebih lagi menjurus kepada penulisan dan percakapan sehari-harian. dan apa yang aku tuliskan disini, sekali lagi dinyatakan, adalah daripada pencerminan diri sendiri dan pengalamanku.

sengaja pada perenggan kedua aku letakkan beberapa terjemahan perkataan untuk melihat apakah reaksi pembaca dan mungkin diriku sendiri. mungkin segelintir dari kita jelek dengan hadirnya perkataan-perkataan dalam kurungan tersebut; dan, mungkin juga hanya memandang sepintas lalu tanpa sebarang makna. hal yang demikian adalah kerana, berdasarkan pengalamanku, aku telah melihat reaksi yang berbeza apabila hadir orang yang berbicara bahasa asing dalam sesebuah perbualan.

tidak perlu rasanya aku meleret panjang bercerita dengan nada mengarut mengenai hal ini. pada aku, aku lihat ada dua jenis orang apabila ingin dikaitkan dengan masalah bahasa. satunya adalah yang bersifat menghukum dan satu lagi adalah bersifat mendidik. dua konteks berbeza.

"I fell..err..I..umm..I is hungry..do you, do you, do you want..err..follow me...eat??" contoh sepotong ayat yang mungkin dinyatakan oleh seorang yang tidak seberapa fasih. reaksi dari orang yang bersifat menghukum mungkin jadi "I guess you'd better be talking in your language because seriously I don't understand a word" (aku rasa engkau lagi elok bercakap dalam bahasa melayu kerana aku tidak faham walau satu perkataan apa yang engkau cakapkan). mungkin jadi "oh~ please please..Bm aje? can you?". atau didahulukan dengan hilaian gelak yang menghina lalu dengan pandangan sinis mengatakan "Do you want to repeat what'd you say because I don't think talking shit is your point"

sedang mereka ini tahu bahawa si gagap itu bersusah payah mencuba berkata-kata dalam bahasa yang sudah sememangnya asing padanya. maka merah padamlah mukanya. tidak perlu bilang soal hati kerana sudah pasti tercalar qalbunya itu. berdarahlah hati itu tidak ketahuan orang sendirian ia.

soalnya sekarang, perlukah reaksi sebegitu? mungkin latar belakang mereka dari yang baik-baik. yang mana lidah itu telah diasah dari kecil untuk berbicara dalam bahasa itu walau gelap mana kulitnya, kemik mana hidungnya, tebal mana bibirnya. lupakah mereka bahawa suatu ketika dahulu mereka juga begitu? siapa mereka untuk memberi reaksi sebegitu rupa? lupakah mereka bahawa ilmu yang mereka ada itu pemberian siapa?

mengapa jadi begini? mengapa hidung yang kemek itu diangkat tinggi apabila merasakan diri itu sudah "menguasai" bahasa itu? satu faktornya adalah kerana kesan penjajahan. kerana mereka rasakan penjajah dahulu adalah yang terbaik. maaf kerana kali ini aku terpaksa tulis dalam bahasa inggeris sebab aku tak reti nak translate. when one nation has been oppressed and conquered, the people, after certain time passed, think that their people are no longer strong, educated and wise. on the other hand, they feel everything about the oppressor is the best. somehow, by time going, they want to have some attachment to the "great" power. that is why they submit to the oppressor and disrespect their own people. satu faktor lagi kerana ceteknya ilmu mereka tentang dunia luar. mereka rasakan mereka akan dipandang tinggi dengan berlaku sebegitu rupa.

bagaimana pula agaknya reaksi orang yang dikhabarkan mendidik? "You were asking me whether or not can i join you having lunch? is that what you were saying?" dengan nada ingin tahu dan serius. atau "I am so sorry; could you please repeat that again for me?" jika dia benar-benar tidak faham. mungkin saja mereka yang sudah dapat idea apa yang ingin disampaikan, terus saja menyatakan soalan itu kembali dan memberikan jawapan "you are hungry and inviting me to join you? it's great! come on". senyuman dan rasa hormat mereka tidak padam walaupun terbukti mereka lebih fasih berbahasa inggeris - atau mereka cuma berkomunikasi dengan bahasa itu saja.

mengapa tidak mereka yang sangat fasih itu memperlekehkan orang yang tidak fasih? kerana mereka itu mendidik. reaksi - reaksi tadi adalah reaksi biasa yang didapati dalam perbualan dua orang yang sebaya. jika yang fasih itu lebih tua, atau seorang yang dalam profesion mengajar, mungkin akan ditegur kesalahan kita, dengan penuh rasa hormat dan menjaga sensitiviti.

mungkin pernah terjadi dalam perbualan yang apabila pihak yang tidak fasih tidak berapa faham maksud yang disampaikan, mereka akan sedaya upaya meringkaskan (simplify) apa yang mereka ingin sampaikan. contohnya, seorang doktor ingin menyatakan bahawa dengan kecederaan yang pesakitnya alami itu mungkin akan menyebabkan kesakitan ketika sejuk; mungkin sekali dia akan menggeletar sambil bercakap perkataan yang mudah seperti "when it is cold" dan ditunjukkan ekspresi sakit dari muka "you will feel pain". pernah juga aku lihat orang yang penghantar makanan apabila bertanya arah kepada seorang "native speaker" (orang yang sediakala bercakap inggeris sebagai bahasa utama), reaksinya, walaupun aku tahu dia tidak berapa faham dengan apa yang ditanya, dia tunjukkan dengan isyarat sambil berkata-kata - "Howe Center is that tall building" sambil mengangkat tangannya tinggi "and you are going to 4th floor" dengan jarinya mengisyaratkan nombor 4. bermacam-macam lagi reaksi yang aku lihat dengan mata kepala sendiri dan aku alami. aku kira semua itu sebagai proses untuk belajar.

aku tahu aku bukanlah begitu fasih berbahasa inggeris tetapi aku tidak lagi malu untuk belajar. kerana aku tahu, disini, di bumi Amerika, kebanyakan orang yang aku jumpa bersifat mendidik. kalau ada yang aku lihat sebagai menghukum, mungkin mereka datang dari latar belakang yang sama denganku - generasi yang pernah dijajah atau mudah lupa. sesungguhnya aku bersyukur. sememangnya keberadaanku disini adalah untuk "belajar". mudah-mudahan dipermudahkan urusanku disini dan kedapatanlah aku sokongan rakan-rakan. mungkin apa yang aku tulis tidaklah sehebat mana atau bermakna apa-apa akan tetapi aku terasa ingin berkongsi kerana mungkin ia menjadi peringatan kepada aku dan kamu jika mungkin kita terlupa.

No comments:

Post a Comment